KEWUJUDAN alam bunian sememangnya mencetuskan misteri membingungkan buat masyarakat di negara ini, lantaran dunia mistik itu didakwa wujud tetapi terselindung di sebalik pandangan manusia biasa. Misteri dunia bunian hanya terbongkar dan diketahui umum selepas segelintir pihak mendakwa berjaya melangkah memasuki dimensi alam ghaib itu menerusi beberapa siri kejadian aneh dan mistik. Lalu pelbagai cerita mengenai pengembaraan pihak itu ke alam bunian mula tersebar sejak zaman silam hingga ke generasi sekarang menyebabkan ramai penduduk meyakini bahawa dunia paranormal itu sememangnya wujud. Antara kisah membabitkan bunian yang menggemparkan negara berlaku awal Jun 2005 apabila empat kanak-kanak lelaki berbangsa Cina hilang selama empat hari di hutan Bukit Fraser di Raub, Pahang. Mengikut laporan akhbar, kumpulan budak lelaki terbabit pada mulanya bersiar-siar di hutan apabila secara tiba-tiba menemui satu jalan yang amat cantik dan dipenuhi pelbagai bunyi-bunyian. Mereka mengikuti laluan berkenaan dan mula terasa seperti berada di 'alam lain'. Kumpulan itu akhirnya panik apabila mendapati jalan dilalui sebelum itu hilang dan kawasan sekitar dipenuhi hutan tebal. Kehilangan empat budak lelaki terbabit menyebabkan gerakan mencari dilakukan besar-besaran membabitkan polis, tentera, unit pengesan Senoi Praag dan penduduk Orang Asli. Bantuan unit udara dan anjing pengesan turut digunakan tetapi selepas tiga hari mencari di hutan seluas lapan kilometer persegi itu, semua mangsa masih gagal ditemui. Pada hari keempat, semua kanak-kanak terbabit akhirnya ditemui bomoh Orang Asli bersama tiga pembantunya berhampiran Sungai Sempang. Ketika menceritakan usahanya mencari kumpulan budak lelaki terbabit, bomoh berkenaan menjelaskan semua mangsa itu disembunyikan makhluk halus atau orang bunian yang berada dalam hutan Bukit Fraser. Bomoh terbabit mendedahkan makhluk halus itu meminati seorang daripada kanak-kanak terbabit menyebabkan dia perlu memujuk supaya semua mangsa dibebaskan. Selain kejadian di Bukit Fraser itu, kisah lain membabitkan bunian yang tersebar dalam masyarakat diceritakan berlaku di Kota Tinggi, Johor, pada zaman dulu. Mengikut cerita, dua pemuda masuk ke hutan mencari rotan tetapi seorang daripada mereka hilang ketika senja. Gerakan mencari dijalankan tetapi lelaki itu gagal dijumpai sehinggakan keluarga dan penduduk kampung menganggap pemuda itu sudah mati dibaham binatang buas. Bagaimanapun, lebih setahun kemudian, pemuda itu kembali ke rumah keluarganya dan membawa bersama seorang anak dan isteri. Pemuda itu menceritakan, pada hari kehilangannya, dia tersesat tetapi terjumpa sebuah rumah berpenghuni dalam hutan itu. Selepas berehat semalaman, pemuda itu meminta izin untuk pulang tetapi dia disuruh terus tinggal di situ dan berkahwin dengan anak perempuan keluarga terbabit. Selepas setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk keluarganya di alam manusia tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh mentuanya sama ada ingin terus berada di alam bunian atau bersama manusia. Lelaki itu memilih kekal bersama anak dan isterinya di alam bunian. Selain cerita terserempak atau tersesat ke alam bunian, terdapat juga cerita makhluk halus itu mengambil bayi dalam kandungan manusia. Antaranya sebuah akhbar pada 27 Jun 2012 menceritakan pengalaman aneh seorang wanita yang kehilangan bayi dalam kandungannya. Menurut wanita yang hanya dikenali sebagai Khadija, apabila kandungannya berusia empat bulan, dia bermimpi didatangi tiga wanita muda berbaju putih yang meminta izin untuk mengambil anak yang dikandungnya untuk tinggal bersama mereka. "Saya merayu kepada mereka supaya tidak mengambilnya, tetapi mereka memberitahu akan menjaga dia dengan baik di tempat yang cantik dan indah," katanya seperti dilaporkan akhbar itu. Selepas mimpi itu, Khadija tersedar dan mendapati perutnya kempis menyebabkannya bingung dan sedih teramat. Kisah bunian terus dilapor setiap tahun dan misteri dunia paranormal itu semakin berlanjutan meniti masa. Berdasarkan pelbagai kisah mengenai bunian, maka ciri makhluk dan alam itu dikenal pasti sama seperti alam manusia cuma mereka wujud di sebalik dimensi ghaib. Wajah dan fizikal orang bunian dikatakan sama seperti manusia, malah mereka turut memiliki aktiviti, budaya dan penempatan menyerupai masyarakat moden di alam nyata. Pastinya misteri terbesar mengenai bunian ialah asal usul mereka dan penyelidik alam mistik serta pengamal rawatan Islam mengemukakan sekurang-kurangnya dua teori mengenai hakikat kejadian makhluk halus itu. Antaranya makhluk bunian dipercayai wujud apabila manusia berkahwin dengan jin dan sememangnya permasalahan itu turut dibincangkan dalam ilmu hukum Islam. Teori berkenaan menjelaskan bahawa perkahwinan itu menyebabkan bunian dilahirkan dengan rupa dan budaya seperti manusia tetapi memiliki ciri unsur ghaib menyamai jin sehingga manusia tidak mampu melihat mereka. Satu teori lain mengenai kewujudan bunian adalah mereka pada asalnya manusia alim dan soleh serta taat kepada perintah Allah SWT tetapi akibat sebab tertentu, mereka terlalai dan melakukan kejahatan. Lantaran malu berhadapan dengan manusia, mereka berdoa kepada Allah SWT supaya kewujudan mereka tidak dilihat manusia. Ada versi mengatakan kejadian itu berlaku pada zaman Sahabat tetapi ada yang mengatakan ia berlaku sebelum zaman Rasulullah SAW. Wallahu A'lam...
https://kembaratracking.wixsite.com/malaysia/single-post/2019/12/06/Ular-Masuk-Khemah
Jangan Lupa LIKE & SUBSCRIBE YouTube Channel 😊👍
► Pyramid Tarp Shelter: https://youtu.be/sVO7H1Iem8I
► Diamond Tarp Shelter: https://youtu.be/XLNNSc5idzA
► Canopy Tarp Shelter: https://youtu.be/-8jgrJH0P-g
► A-Frame Tarp Shelter: https://youtu.be/wVYVfeFT1fg
► Cara Mudah Menyimpan Tali: https://youtu.be/7_KUia30ZMU
► Cara Buat Shelter Guna Baju Hujan: https://youtu.be/Nk6St1VtX14
FOLLOW SAYA 😊
Facebook Page: www.facebook.com/kembaratracking/
Facebook Profile: www.facebook.com/kembaraindah
Instagram: www.instagram.com/kembara_tracking/
YouTube: www.youtube.com/KembaraTracking